REMBAU 11 Jan. – Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau di sini yang telah memulakan operasinya dijangka mampu menampung seramai 4,000 pelajar.
Menurut Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (UiTM), Prof. Dr. Abdul Rahman Omar, kampus itu akan menempatkan pelajar dari tiga fakulti iaitu Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Fakulti Pengurusan Maklumat serta Fakulti Pengurusan Perniagaan.
“Kampus Rembau merupakan tambahan kepada kampus sedia ada di negeri ini dan dijangka berupaya menampung sehingga 4,000 pelajar apabila beroperasi sepenuhnya kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan UiTM Kampus Rembau oleh syarikat Konsesi Kota Permatamas Sdn. Bhd. kepada pihak universiti itu di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan, Datuk Mohd. Nadzri A. Halim telah menyerahkan replika kunci kampus itu kepada Abdul Rahman sebagai simbolik penyerahan kampus berkenaan.
Yang turut hadir Penolong Naib Canselor Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur UiTM, Prof. Datin. Dr. Zainab Mohamed serta Rektor Cawangan Negeri Sembilan, Prof. Dr. Nasrudin Mohammed.
Menurut Abdul Rahman, kewujudan kampus itu akan menjadi medan kepada UiTM untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan dapat memberi sumbangan kepada negara.
Kampus Rembau yang dibina di kawasan seluas 32.4 hektar merupakan kampus UiTM yang ketiga di Negeri Sembilan selepas Kuala Pilah dan Seremban 3.